Thursday 26 April 2012

Ustaz Azhar Idrus kritik Adat Perpatih di You Tube

Terlebih dahulu dinyatakan dalam membicarakan soal hukum agama serta adat yang diwarisi turun temurun, kita harus mengenali diri kita sendiri dahulu sebelum memberikan ulasan berkaitan pihak lain. Saya amat menghargai usaha pelbagai pihak yang membangkitkan persoalan ini terutama kepada Anak Rembau yang banyak mengupas persoalan dalam hal-hal yang berkaitan Adat Pepatih serta blogger Syarak Mengata, Adat Menurut yang saya kenali serba sedikit tetapi tidaklah rapat atau mengenalinya secara mendalam, bak kata orang, cuma terpandang dari jauh. 

Secara am nya, bila bercakap pasal Negeri Sembilan, tidak boleh tidak orang akan menyentuh berhubung persoalan Adat Perpatih. Tetapi tahukah semua pembaca bukan semua anak negeri adalah perwaris kepada Adat Pepatih. Ini kerana anak waris Adat Perpatih adalah mengikut nasab ibu yakni hanya anak-anak yang lahir dari perempuan yang dilahirkan dalam kelompok suku sahaja yang akan menjadi anak waris kepada suku ibunya. Bagi orang lelaki, waris sukunya terhenti sehingga dirinya sahaja. Jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan dari waris suku yang lain, maka keturunannya akan mengikut nasab suku isterinya tetapi sebaliknya jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan luar dari kelompok waris suku adat pepatih, maka keturunannya tidaklah menjadi waris kepada mana-mana suku pun hatta suku lelaki tersebut. Kelompok masyarakat ini tidak tertakluk atau berhak kepada peraturan Adat Perpatih dari segi adat istiadat, perwarisan harta dan sebagainya. Hubungan kekelurgaan yang ada hanyalah menerusi hubungan anak - bapa - datuk - nenek - moyang sahaja tanpa hubungan sesama suku.

Berhubung harta pula yakni Tanah, sebelum kita berbicara lanjut tentang hukum perwarisan nya samaada perlu dijalankan mengikut syarak atau mengikut adat, perkara pokok yang perlu diambil tahu ialah status tanah yang direbutkan itu.. adakah tanah itu tanah milik bebas, tanah pajakan, tanah kurnia, tanah perwarisan faraid atau tanah yang secara dijelas dinyatakan geran/dokumen hakmilik di bawah para Syarat-Syarat Khas sebagai TANAH PESAKA ADAT

Jika dinyatakan maka ianya perlu ditadbir mengikut aturan perwarisan Adat Perpatih. Jika sebaliknya tiada dinyatakan apa-apa syarat maka ianya perlu ditadbir mengikut undang-undang pemilikan dan perwarisan yang termaktub di bawah Kanun Tanah Negara serta Hukum Syarak oleh orang-orang yang berugama Islam.

Pandangan di atas adalah pandangan peribadi saya berdasarkan pemahaman dan pengalaman yang maha cetek dalam hal-hal agama serta adat perpatih. Sebagai anak waris yang membesar dan menjalani kehidupan harian dalam persekitaran masyarakat yang masih teguh mengamalkan Adat Perpatih, saya kan terus mempertahankan apa yang telah digariskan oleh nenek moyang dahulukala. Andainya tiadanya peraturan perwarisan ini.. mungkin hari ini tiada lagi tanah yang dimiliki oleh orang-orang melayu di Negeri Sembilan amnya dan Rembau khususnya. Mungkin hari ini kita akan melihat bangsa asing menjadi tuan punya tanah bendang, tanah ladang yang makin hari semakin dipinggirkan oleh anak waris sendiri yang berbangga menjadi pemilik rumah teres, rumah pangsa di kota metropolitan..

Sila ikuti ulasan blogger Den serta komen-komen dari pelbagai pihak berkaiatan isu yang ditimbulkan di Syarak Mengata , Adat Menurut: Ustaz Azhar Idrus kritik Adat Perpatih, mana Ulama N.Sembilan?


Sila ikuti ulasan blogger Anak Rembau serta Video Ustaz Azhar Idrus yang mempersoalkan tentang Adat Perpatih di http://nagarinansembilan.blogspot.com/2012/04/mengelabah.html


Untuk memahami lebih lanjut tentang pewarisan tanah pesaka adat, sila selami yang tersurat dan tersirat dalam kajian kes yang terdapat di http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_aperpatih/documents/ukmpd/adat_00253.pdf

No comments:

Post a Comment